Skip to main content
Soalan Lazim
Hubungi Kami
Aduan & Maklum Balas
Peta Laman

Penyelidikan Kepimpinan & Jangkauan Global

Fungsi

Pusat Penyelidikan Kepimpinan dan Jangkauan Global (CRO) di Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT) bertanggungjawab melaksanakan kajian jangka masa pendek berbentuk strategik dan berfokus kepada kepimpinan di institusi pendidikan tinggi.

Hasil kajian ini boleh dijadikan kertas cadangan dasar, garis panduan atau pelan tindakan dalam membantu formulasi dasar pendidikan tinggi negara terutama dalam aspek kepimpinan. CRO juga memainkan peranan sebagai hab pengetahuan di mana penerbitan dalam pelbagai medium yang boleh diakses bagi tujuan capaian dan perkongsian ilmu.

CRO turut melaksanakan inisiatif libat urus dan konsultasi dalam bidang kepimpinan bagi konteks pendidikan tinggi di peringkat domestik mahupun global. CRO juga komited dalam mendepani AKEPT dalam memposisikan kedudukan dan keterlihatan.

Sorotan Program

Program-program di Pusat Penyelidikan Kepimpinan dan Jangkauan Global (CRO) dilaksanakan berdasar dua teras utama, iaitu penyelidikan dan inovasi, dan jangkauan global dalam aspek kepimpinan di pendidikan tinggi. CRO merancang skop penyelidikan jangka masa pendek bersifat berfokus dan strategik bagi membantu menyediakan kertas cadangan dasar, garis panduan serta pelan tindakan yang boleh membantu formulasi dasar berkaitan kepimpinan di sektor pendidikan tinggi negara.

Hasil kajian jangka masa pendek ini juga berbentuk inovasi dalam merancana program, modul latihan pembangunan atau inisiatif baharu bagi pembangunan kepimpinan dalam pendidikan tinggi. Ini  juga akan diterjemahkan dalam bentuk perkongsian ilmu melalui pelbagai bentuk medium dan penerbitan bagi memastikan kelestarian pengetahuan dapat dilaksanakan. Perkongsian pengetahuan ini dapat memastikan kesinambungan dan pengekalan pengetahuan dilaksanakan dengan berkesan dan meluas.

CRO juga melaksanakan fungsi dalam merancang dan melaksanakan program wacana berbentuk bitara yang melibatkan kerjasama dan penyertaan daripada dalam dan luar negara. Program wacana yang dilaksanakan membicarakan hal ehwal semasa termasuk trend semasa, perkembangan teknologi, hala tuju sosio-ekonomi dan geo-politik dalam konteks landskap semasa pendidikan tinggi serta konteks nilai dan integriti. Perbincangan mengenai isu semasa seperti ini dapat memberikan pendedahan dan perkongsian kepada kepimpinan di institusi supaya lebih cakna mengenai perkembangan semasa.

Penerbitan hasil daripada kajian jangka masa pendek dan program wacana kepimpinan ini dapat dikongsikan melalui capaian digital yang diterbitkan dalam laman web AKEPT. CRO turut berperanan dalam fungsi menerajui jangkauan global AKEPT dengan pihak luar termasuk pihak swasta, agensi dalam dan luar negara serta rakan strategik yang berkepentingan terutama bagi mendapatkan khidmat rundingan pihak AKEPT mengenai pengurusan bakat di sektor pendidikan tinggi. Perkhidmatan perundingan AKEPT meliputi aspek kepimpinan institusi, kepimpinan instruksional, serta pengurusan bakat. Kerjasama dan jaringan strategik bersama rakan strategik dari dalam dan luar negara turut boleh memantapkan perancangan dan pelaksanaan program kepimpinan di AKEPT. CRO terus komited dalam memberikan perkhidmatan kepada universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti.