Deputy Vice Chancellor Leadership Onboarding Programme (DVCLead)
Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kolaborasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah menganjurkan Deputy Vice Chancellor Leadership Onboarding Programme (DVCLead) Kohot 2 bertemakan Aspiration, Trust, Champion and Synergy pada 19 hingga 22 Februari 2023 di Langkawi, Kedah.
Pada Majlis Penutup DVCLead Kohot 2 ini, kata alu-aluan telah disampaikan oleh YBhg. Dato' Prof. Dr. Nasrudin bin Mohammed, Pengarah AKEPT, manakala ucapan penutup telah disempurnakan oleh YBhg. Prof. Datuk Ts. Dr. Roziah Mohd Janor, Naib Canselor UiTM.
Program ini diadakan sebagai latihan pembangunan dan pemerkasaan kepimpinan yang disasarkan kepada Timbalan Naib Canselor (TNC) dan Penolong Naib Canselor (PNC) daripada Universiti Awam dan Swasta merentasi portfolio yang berbeza seperti Akademik dan Antarabangsa, Penyelidikan dan Inovasi, Pelajar dan Alumni, Jaringan Industri dan Masyarakat serta Pembangunan.
Pada tahun ini, 36 orang TNC dan PNC telah menyertai DVCLead Kohot 2 yang membincangkan topik Kepimpinan Universiti, Pembudayaan Nilai, Perkongsian Hala Tuju, Pengurusan Perubahan dan Pelaksanaan ESG dalam Pentadbiran Universiti serta pembentangan tugasan oleh peserta.
Panel penceramah berpengalaman telah diundang dalam memastikan impak keberkesanan program dapat dicapai. Dalam program ini peserta berpeluang memperoleh input-input berguna serta berkongsi isu dan cabaran yang dihadapi di universiti masing-masing bagi mendapatkan cadangan solusi daripada mentor-mentor yang telah dikenal pasti.
Pada program sama, peserta telah mengikuti Sesi Libat Sama Masyarakat bersama Komuniti Usahawan Kompleks Kraf dan Komuniti Pulau Tuba pada 21 Februari 2023. Ini merupakan tanggungjawab sosial korporat melibatkan penduduk tempatan sebagai nilai tambah kepada DVCLead. Turut berlangsung adalah perasmian Marine Research Centre (MAREC), iaitu pusat penyelidikan secara usaha sama antara UiTM dan Petronas di Pulau Tuba, Langkawi.
DVCLead diharap dapat membina jaringan kerjasama strategik dan membentuk sinergi antara AKEPT dan TNC serta PNC dalam memastikan pengetahuan dan kemahiran yang dirancang dapat diperkasakan sebagai kompetensi kritikal mereka agar seiring dengan kemajuan dan keperluan teknologi pendidikan tinggi global.Pengarang Berita
-
Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT)
-
+606-7979 400
Terkini
Program
No events |